Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kelulusan penubuhan kilang baharu yang akan mengeluarkan vape di Malaysia oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) begitu mengejutkan.

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menyifatkan kelulusan sebegini, walaupun dilaksanakan di bawah pelaburan antarabangsa yang sah, harus dipertimbangkan dari sudut kesannya terhadap kesihatan masyarakat.

Apatah lagi, MCTC difahamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau penglibatan dalam proses kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) sebegini.

Jika benar, perkara ini mesti diperbetulkan dengan segera.

Ia kerana pelaburan sedemikian ingin dibuat di Malaysia, terutamanya dalam sektor industri yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan awam, proses kelulusan mestilah melibatkan KKM.

Oleh itu, MCTC bukan sahaja menyeru agar KKM dimasukkan dalam proses ini, tetapi juga diberi kuasa untuk membuat keputusan akhir sama ada pelaburan sebegini patut dibenarkan atau tidak.

“Sudah terlalu lama elemen-elemen dalam kerajaan, termasuk di peringkat Jemaah Menteri, mudah dipengaruhi oleh hujah-hujah pro-industri dan sering kali membuat keputusan yang memudaratkan kesihatan rakyat.

Ini mesti dihentikan. Kesihatan adalah hak paling utama dan pelaburan ke arah kesihatan rakyat Malaysia harus menjadi keutamaan mana-mana kerajaan — bukannya keuntungan jangka pendek yang menggadaikan nyawa,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia hari ini.

Susulan itu, MCTC menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus fokus dalam melaksanakan misi kita ke arah merealisasikan visi masyarakat Malaysia bebas tembakau.

Jelasnya, perjuangan menuju Malaysia bebas tembakau merupakan usaha yang sering kali tidak dihargai; ia telah mengambil masa berdekad-dekad dengan ribuan aktivis akar umbi dalam pelbagai lapangan seperti kesihatan dan komuniti yang terus bekerja secara konsisten demi membawa perubahan dalam masyarakat.

Tahun ini, negara menyaksikan beberapa kejayaan yang amat membanggakan. Buat pertama kali, Malaysia menjadi tumpuan di peringkat global dalam dua aspek kawalan tembakau.

Pertama, pengiktirafan terhadap usaha komuniti kawalan tembakau di Malaysia melalui Anugerah Hari Tanpa Tembakau Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penghormatan ini diberikan secara bersama kepada Majlis Kawalan Tembakau Malaysia; melalui Presiden kami, Prof Madya Dr Murallitharan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad; dan Dr Noraryana Hassan dari Kementerian Kesihatan Malaysia — menandakan pengiktirafan global terhadap usaha pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia selama beberapa dekad, yang memuncak dengan kelulusan Akta Kawalan Produk Merokok Malaysia yang pertama.

Kejayaan kedua ialah penerimaan Resolusi Inisiatif Kesihatan Paru-paru oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia. Resolusi ini mengandungi langkah konkrit untuk memperkukuh tindakan pencegahan kawalan tembakau di 194 negara anggota WHO dan telah dikonsepkan serta diperjuangkan oleh Malaysia sendiri.

Lebih membanggakan, kandungan resolusi ini turut disumbang secara langsung oleh para pejuang kawalan tembakau Malaysia termasuk MCTC dan kini sedang menuju pelaksanaan di peringkat global.

Namun begitu, adalah terlalu awal untuk menyangka bahawa kejayaan-kejayaan ini memadai bagi mengekang ancaman industri tembakau global yang bernilai berbilion dolar, kini turut melibatkan industri vape.

Kelulusan Akta Kawalan Produk Merokok 852 adalah satu kejayaan yang wajar diraikan, namun ia hanyalah penutup kepada permulaan perjuangan MCTC.

Sehubungan itu, MCTC dan komuniti kawalan tembakau akan terus berusaha memastikan pelaksanaan semua aspek akta ini serta mencapai visi akhir – sebuah Malaysia yang bebas tembakau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast