KUALA LUMPUR – Polis meminta saksi kemalangan maut membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh selepas motosikalnya terlanggar seekor lembu di Kilometer 25, Jalan Bahau–Kemayan pada 25 Mei lalu untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, mangsa berusia 21 tahun yang cedera parah disahkan meninggal dunia selepas tujuh hari menerima rawatan di hospital.
“Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, mangsa menunggang motosikal Honda Wave sedang dalam perjalanan dari arah Kemayan menuju ke Bahau.
“Sejurus tiba di lokasi, mangsa dipercayai telah melanggar seekor lembu yang melintas, menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.25 malam semalam semasa menerima rawatan di hospital berkenaan
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
“Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746 bagi membantu siasatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















