Fasiliti kesihatan primer dan hospital KKM berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dengan tenaga kerja, peralatan dan logistik yang mencukupi.

KUALA LUMPUR – Ketika perhatian negara kini tertumpu pada isu harga ubat dan kos rawatan kesihatan, seorang doktor perubatan memberi amaran bahawa fokus sebenar seharusnya ditumpukan kepada keadaan sistem kesihatan awam yang semakin tenat.

Dr. Kamal Amzan berkata, masalah utama dalam sistem kesihatan bukan sekadar kos ubat sahaja, tetapi sejauh mana kesiapsiagaan dan kecekapan sistem awam dalam memberi rawatan yang cepat dan berkualiti.

“Ini bukan tentang harga Panadol. Ini tentang sama ada sistem kesihatan awam mampu berfungsi apabila rakyat paling memerlukannya.

“Dan ketika ini, sistem itu sedang bergelut untuk bertahan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Doktor kesihatan awam itu mendedahkan antara isu paling ketara adalah tempoh menunggu yang terlalu lama untuk ujian diagnostik, rawatan pakar dan pembedahan.

Doktor kesihatan awam, Dr Kamal Amzan

Masalah-masalah ini sudah tentu memberi kesan besar kepada pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kanser kerana  kelewatan boleh membawa maut.

“Penyakit seperti kanser tidak boleh ditangguh. Tetapi realitinya, ramai rakyat terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk saringan awal. Kelewatan ini meragut peluang untuk sembuh,” ujarnya.

Selain itu, dakwanya, infrastruktur hospital-hospital kerajaan sedang beroperasi dalam keadaan usang dan sesak.

Manakala kakitangan kesihatan awam termasuk doktor hingga jururawat bekerja dalam keadaan keletihan melampau.

Akibatnya, ramai juga sudah meninggalkan sektor ini kerana tidak mampu bertahan dengan tekanan kerja dan ganjaran pula tidak setimpal.

“Kita melatih ramai petugas kesihatan cemerlang, tetapi ramai yang pergi ke luar negara kerana peluang di sana lebih baik.

“Tanpa perubahan struktur, kita akan terus kehilangan tenaga mahir,” jelasnya.

Dr. Kamal menambah, kelewatan dalam transformasi digital turut memburukkan keadaan apabila banyak hospital awam masih bergantung kepada proses manual dan sistem yang tidak bersepadu.

“Doktor sepatutnya fokus kepada pesakit, bukan dibebankan dengan kertas kerja. Teknologi digital bukan soal gaya hidup moden, tapi satu keperluan untuk kesihatan yang cepat, tepat dan bersepadu,” katanya.

Mengulas arahan dasar terkini seperti arahan kepada hospital swasta memaparkan harga ubat, Dr Kamal menyifatkan langkah itu sebagai simbolik dan tidak menyentuh masalah ‘pokok’.

“Ketelusan itu penting, tapi ia harus disusuli dengan tindakan bermakna. Kita tidak mahu reformasi yang hanya cantik di atas kertas tetapi kosong dari segi impak sebenar,” katanya lagi.

Beliau juga memberi peringatan jika sistem kesihatan awam terus merosot, rakyat tiada pilihan lain selain beralih ke sektor swasta yang tidak semua mampu membayar.

“Sistem awam adalah benteng terakhir. Jika ia runtuh, berjuta rakyat akan hilang tempat bergantung. Kita mesti mula melabur secara serius dalam infrastruktur, tenaga kerja, teknologi dan kesinambungan sistem

“Ubat ada harga. Tapi sistem kesihatan yang gagal ketika ibu anda perlukan rawatan, itu tidak ternilai harganya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast