Mohamed Khaled Nordin

SUNGAI BULOH – Seramai 72 peratus daripada 6,891 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan latihan Program Latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) berjaya memperoleh pekerjaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding kadar penempatan pekerjaan 60 peratus yang direkodkan pada tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 65.4 peratus telah menjadi usahawan atau bekerja sendiri, manakala 34.6 peratus pula bekerja dengan di bawah majikan.

“Meskipun pencapaian ini memberangsangkan, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia, Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) dan Sijil PERHEBAT di Kem Sungai Buloh, hari ini.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, Perhebat perlu melakukan penyelidikan yang lebih mendalam untuk memahami faktor-faktor yang menyebabkan peserta program belum berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Ini bermakna, kita mesti sentiasa terbuka untuk menyemak kandungan latihan, pendekatan yang digunakan serta proses latihan peralihan ini dilakukan, mesti mengikut corak pasaran semasa. Ia mesti bersifat terkini dan tidak lapuk.

“Kita mesti berlapang dada dan sentiasa bersikap terbuka untuk menerima hakikat bahawa masih banyak ruang penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan demi memperluas manfaat Perhebat kepada warga veteran kita,” ujarnya.

Pada majlis sama, Pengerusi Perhebat, Datuk Dr Roziah Omar memaklumkan bahawa seramai 3,473 anggota ATM berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara pada tahun ini.

“Sejumlah 514 anggota dan veteran ATM berjaya ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia pada tahun ini menerusi Program RPEL,” katanya.

Perhebat melaksanakan Program RPEL yang membolehkan anggota dan veteran ATM memperoleh diploma berdasarkan pengalaman dan kemahiran sedia ada sejak 2017..

Tahun lalu, Perhebat turut memperkukuh jaringan strategik dengan menjalin kerjasama bersama 32 agensi awam dan swasta.

Kerjasama tersebut melibatkan 17 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama institusi seperti Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, TalentCorp, GIATMARA dan HRD Corp, serta 15 lagi kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast