Keadaan SUV yang merempuh belakang sebuah kedai di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Gara-gara tersalah masuk gear, seorang warga emas berdepan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya merempuh belakang sebuah kedai di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa suri rumah berusia 70 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa hendak ke kedai makan dan semasa hendak masuk ke petak parkir secara mengundur, mangsa tersalah masuk gear D menyebabkan SUV jenis Volvo XC60 dipandunya terlajak.

“Akibatnya, SUV berkenaan merempuh bahagian belakang premis terbabit yang merupakan bekas pejabat peguam namun sudah dikosongkan menyebabkan dinding kedai pecah selain SUV mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast