KUALA LUMPUR – Pengeluaran minyak mentah dan kondensat mencatatkan jumlah yang stabil sebanyak 45.5 juta tong, menunjukkan daya tahan sektor huluan dalammenghadapi ketidaktentuan pasaran pada suku pertama ini.
Jumlah pengeluaran ini meningkat marginal negatif 5.2 peratus tahun ke tahun (ST4 2024: -7.3%; 45.7 juta tong) disokong oleh peningkatan dalam pengeluaran Minyak mentah yang menunjukkan pemulihan dengan kadar penyusutan yang lebih kecil iaitu negatif 6.5 peratus berbanding negatif 9.3 peratus pada suku sebelumnya.
Sementara itu, pengeluaran kondensat turut mencatatkan pertumbuhan namun masih lagi berada dalam jajaran negatif 2.4 peratus berbanding negatif 2.5 peratus yang direkodkan pada suku terdahulu.
Bagaimanapun, pengeluaran gas asli menyusut 2.2 peratus tahun ke tahun berbanding 3.1 peratus pada suku sebelumnya dengan jumlah pengeluaran sebanyak 781.9 bilion kaki padu berbanding 792.8 bilion kaki padu pada suku keempat tahun 2024.
Harga purata “Lifting” berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat di Malaysia meningkat AS$76.4 per tong pada suku pertama 2025 berbanding AS$76.3 per tong pada suku lepas.
Kenaikan harga ini selari dengan harga WTI dan Brent dengan masing-masing mencatatkan AS$71.8 per tong (ST4 2024: AS$70.7 per tong) dan AS$75.8 per tong (ST4 2024: AS$74.6 per tong).
Menjelaskan mengenai prestasi perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.2 bilion berbanding RM6.0 bilion pada suku sebelumnya.
Thailand mendahului eksport petroleum mentah dan kondensat dengan RM1.9 bilion atau 30.9 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Australia (26.1%) dan Jepun (11.4%).
Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis menurun kepada RM24.3 bilion berbanding RM26.5 bilion pada suku sebelumnya.
Singapura kekal penerima utama eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM6.9 bilion atau 28.3 peratus, diikuti oleh Indonesia (21.4%) dan Australia (15.5%).
Nilai eksport LNG turut mencatatkan pengurangan kepada RM15.5 bilion pada suku ini berbanding RM16.7 bilion pada suku keempat 2024 dengan 46.0 peratus dieksport ke Jepun, diikuti oleh Korea (24.3%) dan China (20.1%).
Mohd Uzir menambah, nilai import petroleum mentah dan kondensat menurun
kepada RM13.6 bilion bagi suku pertama 2025 berbanding RM15.1 bilion yang direkodkan pada suku keempat 2024.
Arab Saudi kekal dominan sebagai negara asal utama bagi import petroleum mentah dan kondensat, dengan jumlah 52.7 peratus, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (15.2%) dan Sudan (6.0%).
Nilai import Keluaran petroleum bertapis berjumlah RM23.2 bilion berkurang daripada RM25.4 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya dengan Singapura kekal penyumbang terbesar (42.5%), diikuti oleh Korea (11.9%) dan India (8.1%).
Import LNG turut merekodkan penurunan kepada RM1.9 bilion (ST4 2024: RM2.2 bilion) dengan keseluruhan import diperoleh sepenuhnya dari Australia. – MalaysiaGazette















