Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media berkenaan Penguatkuasaan Road Charge Vehicle Entry Permit (RC-VEP) Sempadan Darat Malaysia dan Singapura di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 JUN 2025

PUTRAJAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diminta mempertingkatkan langkah keselamatan termasuk memasang pintu keselamatan penumpang di semua stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan itu bagi mengekang tragedi yang menimpa seorang lelaki warga Taiwan yang maut digilis di Stesen LRT Pusat Bandar Puchong, semalam.

“Dari segi langkah-langkah keselamatan, memang saya dah minta Prasarana untuk merancang untuk memasang pintu keselamatan penumpang itu di semua stesen LRT dan MRT.  Sebab ini, untuk stesen-stesen MRT baru, memang ada pintu keselamatan, kita ada satu pintu sebelum tren sampai.

“Monorail pun telah kita siapkan, cuma untuk LRT aliran Ampang ini, ada stesen-stesen yang ini dengan reka bentuk lama, yang belum ada pemasangan pintu keselamatan di platform. Jadi, itu sesuatu yang saya minta Prasarana untuk melaksanakannya,” katanya sidang media hari ini.

Bagi penambaikan untuk keselamatan di stesen terlibat, Anthony tidak menolak kemungkinan akan melibatkan kos yang besar dan memerlukan bajet tambahan.

“Bagaimanapun, kita akan membuat pertimbangan sewajarnya bagi tujuan itu dan akan memberikan keutamaan untuk menambah baik keselamatan di stesen-stesen yang ada dan Prasarana sedang membuat perancangan pembangunan tersebut,” ujarnya.

Mengulas mengenai insiden di Stesen LRT Pusat Bandar Puchong, semalam, Anthony berkata, pihaknya menyerahkan siasatan insiden tersebut kepada polis.

“Laporan telah diberikan oleh Prasarana dan kita ada satu kemalangan, yang mungkin penumpang ataupun mangsa yang mana dia tidak sedar berkenaan dengan keadaan platform.

“Insiden itu dirakam dalam Kamera Litar Tertutup (CCTV), jadi kita tahu bahawa itu memang satu kemalangan. Jadi, CCTV itu akan diserahkan kepada pihak polis oleh Prasarana dan saya rasa setakat ini, kita serahkan kepada pihak polis dulu untuk membuat siasatan lebih terperinci,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, seorang lelaki warga Taiwan maut digilis gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) selepas dipercayai terjatuh ke atas landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.05 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast