BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 86,086 unit peranti rokok elektronik (vape) serta 996.5 liter cecair vape bernilai RM5.17 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan pada April lalu.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, rampasan di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini dan di Pelabuhan Klang, Selangor itu turut membawa kepada tangkapan tiga lelaki termasuk seorang pengeksport warga China.
Jelas beliau, rampasan pertama jam 1.15 tengah hari di NBCT pada 3 April lalu terbongkar selepas pegawai kastam membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang melabuh dari China.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 14,200 unit peranti vape serta 210 liter cecair vape bernilai RM1.5 juta termasuk cukai.
“Modus operandi digunakan sindiket adalah dengan mengikrar dagangan itu sebagai barangan plastik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Susulan itu, kita lakukan tangkapan ke atas dua lelaki masing-masing berusia 30-an yang terdiri daripada ejen warga tempatan serta pengeksport warga China,” katanya pada sidang media di Ibu Stor Penguatkuasaan JKDM Bagan Jermal di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Rohaizad berkata, rampasan kedua dilakukan di Pelabuhan Klang pada 10 April lalu dengan membabitkan tangkapan seorang ejen tempatan berusia 40-an.
“Pemeriksaan ke atas kontera dari China yang diikrar mengandungi tali pinggang serta dompet itu membawa kepada penemuan 71,886 unit peranti vape serta 786.5 liter cecair vape bernilai RM3.64 juta termasuk cukai,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya masih jalankan siasatan lanjut berhubung rampasan kedua-dua kontena vape ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette














