GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang menyifatkan pemberian diskaun lima peratus bagi unit hartanah tidak terjual sebagai langkah bersifat kosmetik yang tidak menyentuh punca sebenar masalah lambakan hartanah di negeri ini.
Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Andika Putera berkata, walaupun usaha tersebut dilihat sebagai langkah merangsang sektor hartanah, ia hanya menangani simptom masalah dan bukan punca sebenar yang menyebabkan lambakan unit tidak terjual di negeri ini.
“Kita mengambil maklum kenyataan Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo Somu berkaitan langkah intervensi sektor hartanah dengan pemberian diskaun lima peratus kepada pembeli komuniti India Muslim bagi unit hartanah tidak terjual dan kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung cadangan memperluaskan diskaun tersebut.
“Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Negeri Pulau Pinang bagi suku keempat tahun 2024 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 2,796 unit kediaman telah dikenal pasti sebagai overhang melibatkan pelbagai jenis hartanah di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai perancangan dan pengurusan sektor perumahan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Mengapa kerajaan negeri masih terus meluluskan projek perumahan baharu sedangkan unit-unit sedia ada masih belum terjual?
“Adakah keperluan sebenar rakyat sedang diutamakan atau wujud faktor lain yang mempengaruhi keputusan ini?,” soalnya.
ARTIKEL KAITAN
Pulau Pinang kaji semula insentif hartanah kepada India Muslim
Sundarajoo langkau prosedur dasar awam umum diskaun perumahan India Muslim
Andika turut mempersoalkan status 70,000 unit rumah mampu milik yang masih tertangguh daripada keseluruhan 220,000 unit yang dijanjikan kerajaan negeri.
“Keadaan ini menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat. Mengapa projek-projek ini masih belum dimulakan?
“Adakah ia berpunca daripada kelemahan dalam perancangan, masalah pembiayaan atau kegagalan pelaksanaan?
“Justeru itu, kita menggesa kerajaan negeri agar melaksanakan pendekatan lebih menyeluruh dan berfokus jangka panjang dengan menjalankan kajian mendalam bagi mengenal pasti punca sebenar lambakan unit tidak terjual, termasuk faktor harga dan lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette
















