Anggota JPJ melakukan pemeriksaan kenderaan dalam Ops Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha 2025 di seluruh Johor bermula 4 hingga 10 Jun lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 5,744 saman melibatkan pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha 2025 bermula 4 hingga 10 Jun lalu.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, kesalahan tersebut melibatkan tiada lesen memandu kompeten (CDL) berjumlah 1,264 atau 22 peratus sekali gus merupakan paling banyak dikesan sepanjang operasi itu.

“Ini diikuti gagal memperbaharui/tiada Lesen Memandu Malaysia (LMM) (1,163 atau 20 peratus); tiada perlindungan insuran (1,021 atau 18 peratus) dan tiada lesen vokasional (134),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, saman dikeluarkan melibatkan sembilan kesalahan utama iaitu melibatkan memotong sebelah kiri (7), memotong di garisan berkembar (15) dan tidak patuhi lampu isyarat merah (7).

Jelasnya, ini termasuk menggunakan lorong kecemasan (8), menggunakan telefon bimbit (9), tidak pakai topi keledar (142), tidak pakai tali pinggang keledar (61), tidak pakai topi keledar (72) dan lain-lain kesalahan (1,993).

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 45,395 buah kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut manakala 83 sitaan dilakukan melibatkan motosikal (66), kereta (9) dan lain-lain kenderaan (8).

Sempena operasi itu ujarnya, JPJJohor berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya melalui program penguatkuasaan terancang tersebut.

Katanya, sepanjang tempoh operasi itu JPJ Johor memfokuskan kepada pengesanan dan penilaian pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan serta kenderaan dipandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta

Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya.

“JPJ Johor memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan mana-mana pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” katanya.

Aduan boleh dibuat secara terus atau real time dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast