Polis bantuan mengawal ketat pada hari kedua kediaman Pengarah Maju Holding, Tan Sri Abu Sahid berhubung penyelewengan dana sukuk sebuah lebuh raya Mex2 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Tasik Selatan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 JUN 2025

BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mengambil masa antara satu atau dua bulan lagi bagi menyelesaikan siasatan membabitkan seorang Tan Sri berhubung kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tempoh masa tersebut diperlukan bagi membolehkan pasukan penyiasat SPRM mendapatkan maklumat lengkap.

Menurut beliau, pihaknya memerlukan masa bagi menganalisa segala dokumen yang diperoleh daripada saksi.

“Sehingga kini, seramai 53 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes ini. Dijangkakan lebih ramai saksi akan dipanggil bagi diambil keterangan.

“Rakaman percakapan daripada individu bergelar Tan Sri juga akan disambung hari ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Kedua Tahun 2025, di sini hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025 di BACC, Bangi. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2025.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, proses merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri berhubung kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang kini memasuki hari kedua hari ini.

Sejak semalam, dua pegawai penyiasat SPRM telah merakam keterangan individu itu yang mengambil masa kira-kira selama enam jam bermula pukul 9 pagi sehingga 3 petang.

Azam dilapor berkata, Tan Sri berkenaan merupakan saksi utama dalam siasatan kes terbabit dengan 52 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast