JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM9,100 terhadap seorang pengurus sumber manusia warga Singapura atas dua pertuduhan khianat minggu lalu.
Tertuduh, Cheng Kuan Poh Colin, 40, mengaku bersalah selepas setelah pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Shaarmini.
Tertuduh yang masih bujang juga didakwa melakukan khianat terhadap seorang lelaki dengan menyebabkan kerugian dan mengaibkan kehormatannya, minggu lalu.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kerugian dan kebinasaan harta iaitu merosakkan sebuah kereta milik seorang lelaki, 32.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh mengaibkan kehormatan mangsa iaitu meludah ke mukanya dengan maksud mengganggu kesantunan mangsa.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Taman Sutera Utama, Skudai di sini pada 7 Jun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didenda RM4,300 manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM4,800.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 426 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala tertuduh diwakili peguam, Norfarahin Mohd Yazid.- MalaysiaGazette
















