Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan tiga kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan, Yong Peng, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Seorang pemandu maut selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan satu treler dan dua lori di Kilometer 81 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 8.33 pagi.

Susulan itu ujarnya, tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori lapan tan jenis Nissan, sebuah lori tangki jenis Volvo dan sebuah treler jenis Scania.

“Terdapat seorang seorang mangsa lelaki cedera dan tersepit di bahagian pemandu bagi kenderaan treler,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pemandu berkenaan, R Sivasanthiran yang berusia 34 tahun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

Mayat katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sementara pemandu kedua-dua lori tersebut yang berusia 37 dan 42 tahun terselamat.

Tambah beliau, operasi tersebut tamat pukul 10.24 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast