Ismail diberikan taklimat berkenaan proses keluar masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang merangka pelan menambah baik proses keluar masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini secara menyeluruh dengan fokus terhadap penyusunan semula pergerakan pelawat dan pengembara.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, pelan penambahbaikan itu secara keseluruhan bertujuan meningkatkan kelancaran melibatkan urusan luar masuk di salah satu pintu masuk utama negara dari arah selatan.

“Perkara berkenaan dilihat sebagai langkah jangka panjang agar kemudahan ini seiring dengan peningkatan jumlah pelawat dari tahun ke tahun.

“Tujuan utama kita meneliti permasalahan di BSI adalah untuk memperkemaskan struktur pergerakan keluar masuk di sini.

“Antara cadangan utama yang sedang dikaji ialah pemindahan sepenuhnya laluan kenderaan berat seperti lori ke Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), manakala BSI dikhususkan untuk kegunaan pelawat dan pengembara sahaja,” katanya.

Ismail berkata demikian dalam sidang akhbar setelah menyempurnakan program Pemantauan Integriti di Sempadan di BSI hari ini.

Hadir sama Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dan Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Roszita Dim.

Katanya, jika perancangan tersebut tidak dimulakan dari sekarang, kemungkinan sukar melihat perubahan ketara di pintu masuk utama negara itu nanti.

Jelasnya, proses itu melibatkan perbelanjaan besar tetapi perlu dilakukan demi keselesaan rakyat dan kelancaran sistem sempadan antara dua negara terbabit.

Sementara itu, Ismail berkata, kajian terperinci mengenai pelan struktur itu akan dijalankan dalam masa terdekat.

Jelasnya, kajian tersebut akan turut melibatkan penglibatan pelbagai agensi berkaitan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Pelan penambahbaikan BSI ini dijangka memberi impak besar kepada pengurusan aliran pelawat harian, khususnya warga kerja Malaysia dan Singapura yang bergantung kepada pintu masuk ini setiap hari.

“Bagaimanapun, apa yang penting, kita perlu lihat dahulu keperluan dan kemudian cadangkan kaedah penyelesaian yang menyeluruh dan berkesan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast