Chew Ah Sing didenda selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas kecuaiannya memandu Selasa lalu.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang pemandu lori warga emas selepas mengaku bersalah atas tuduhan memandu secara cuai hingga menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam, Selasa lalu.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Chew Ah Sing, 69, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu telah memandu lori di atas jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya dengan keadaan gagal menurunkan bahagian bucket kenderaan berat dipandunya sebelum melanggar kabel elektrik.

Akibat kecuaian tersebut, kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan tiga tiang elektrik, sebatang tiang lampu isyarat, sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah pondok bas.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 3.20 petang di Kilometer 30.7 di Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas, 10 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, pemandu terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu tanpa cermat dan perhatian yang sepatutnya.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan selain denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

Untuk sabitan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM15,000 manakala lesen percubaan boleh dibatalkan oleh mahkamah.

Mahkamah juga boleh mengendors atau membatalkan lesen memandu tertuduh bergantung kepada keputusan penghakiman.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli.

Sharmaine memohon jaminan yang minima kerana pemandu lori berpendapatan RM2,000 sebulan itu mempunyai tanggungan isteri dan anak yang masih belajar.

Mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM6,000 dan boleh dikenakan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda selain lesen memandu diendorskan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast