Pasukan forensik PDRM membuat pemeriksaan di sekitar kawasan tembakan yang dilepaskan dua orang lelaki yang menaiki motosikal di Jalan Tun Sambathan, Brickfields, Kuala Lumpu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan mati selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfields di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu turut menyebabkan dua lelaki tempatan cedera dan sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di lokasi terbabit sekitar jam 10.50 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, tiga mangsa berusia 30 hingga 50-an sedang makan bersama beberapa rakan sebelum dihampiri dua suspek yang menaiki motosikal.

“Suspek kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan yang mengakibatkan seorang mangsa mati di tempat kejadian manakala dua lagi cedera parah,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood bercakap pada sidang media mengenai insiden tembakan yang berlaku di Jalan Tun Sambathan, Brickfields, Kuala Lumpu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JUN 2025

Tambah beliau, buat masa ini tiada sesuatu yang mencurigakan dalam insiden itu dan pihaknya sedang menyiasat motif sebenar kejadian tersebut.

“Setakat ini, kita tidak dapat mengulas lanjut mengenai suspek namun kita sedang mengesan pelaku tersebut dengan segera. 

“Kita masih menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut termasuklah motif kejadian itu berlaku dan sebagainya,” jelasnya.

Ku Mashariman juga memaklumkan, mayat mangsa telah dihantar ke PPUM bagi proses bedah siasat dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daera (IPD) Brickfields bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast