JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan satu video tular dalam TikTok memaparkan individu menyerupai Ketua Polis Johor adalah palsu dan dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, video berkenaan yang turut mengaitkan penerimaan bantuan kewangan daripada individu bernama ‘Datok Abdul Malik’ adalah tidak benar.
Susulan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai unit media yang turut mengesahkan bahawa rakaman video tersebut bukan kenyataan rasmi Ketua Polis Johor.
“Video tersebut yang dikaitkan dengan penerimaan bantuan daripada individu bernama ‘Datok Abdul Malik’ dan kononnya telah dimasukkan ke dalam bank, adalah palsu dan tidak berasas.
“Polis Johor mengesahkan bahawa Ketua Polis Johor tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dipaparkan dalam video tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kumar, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis Johor memandang serius penyalahgunaan teknologi seperti AI untuk tujuan penipuan atau fitnah yang boleh mencemarkan nama baik mana-mana pihak.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu ini,” teganya.
Tambah beliau, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan semula video tersebut dan diminta untuk sentiasa membuat semakan kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau berkongsi kandungan di media sosial.
“Pihak polis juga menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung penyebaran video palsu ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, video yang menggunakan wajah Ketua Polis Johor didapati sudah dipadam dalam akaun TikTok tersebut.- MalaysiaGazette
















