Ahmad ketika berucap dalam perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian semalam.

PONTIAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara usul yang perlu diketengah dan diberi tumpuan khusus dalam Persidangan UMNO Bahagian 2025.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana PRN Sabah dijangka lebih awal daripada PRN Melaka dan Johor.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO berkata, antara persediaan yang perlu dibincangkan seperti logistik, gerak kerja akar umbi dan pengukuhan mesej parti.

Pada masa sama katanya, persidangan tersebut juga perlu memberi tumpuan terhadap persiapan menghadapi PRN Melaka dan Johor.

“Usul persiapan PRN Sabah, Melaka dan Johor perlu diketengahkan 191 bahagian UMNO di seluruh negara pada kali ini.

“Namun PRN Sabah paling utama kerana ia dijangka berlangsung terlebih dahulu mengikut jadual semasa. Kita mahu UMNO benar-benar bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini semalam.

Katanya, usul tersebut juga perlu disertai dengan syor memperkasakan struktur kira-kira 22,050 cawangan seluruh negara yang merupakan akar umbi terpenting parti.

“UMNO tidak seperti parti lain yang hanya ada puluhan cabang. Kekuatan kita pada jumlah dan sistem akar umbi. Itu yang perlu diperkukuhkan sebelum PRN Sabah bermula.

“Kalau kita mantapkan cawangan, bahagian akan jadi kuat. Kalau bahagian kuat, PRN kita boleh menangi,” ujar Ketua UMNO Bahagian Pontian itu.

Beliau mencadangkan agar peringkat cawangan diberi peranan lebih besar dalam mobilisasi awal jentera dan usaha itu boleh digerakkan melalui pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat seperti program pendidikan serta sokongan kebajikan.

Jelasnya, ini termasuk melalui pemberian anugerah pendidikan kepada anak ahli yang cemerlang serta insentif kehadiran mesyuarat sebagai usaha meningkatkan penyertaan akar umbi.

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Pontian, UMNO juga digesa memastikan kewujudan parti dilihat secara fizikal melalui papan tanda rasmi di semua cawangan.

“Di Pontian ada 117 papan tanda UMNO cawangan. Kalau kita pergi di seluruh kawasan Parlimen Pontian, kita akan nampak papan tanda cawangan.

“Turut dicadangkan ialah pemberian insentif kepada ahli yang hadir mesyuarat cawangan seperti perlindungan insurans kumpulan sebagai galakan menambah kehadiran,” katanya.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast