ISKANDAR PUTERI – Bau busuk dihidu jiran daripada rumah di kawasan Bandar Selesa Jaya dekat sini membawa kepada penemuan mayat seorang wanita.
Mayat Lo Kwan Fong yang berusia 39 tahun itu ditemui selepas jiran menyiasat punca bau busuk sebelum membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pukul 8 malam Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mayat berkenaan adalah seorang wanita berusia 39 tahun dan tinggal seorang diri.
“Siasatan mendapati wanita berkenaan dipercayai telah meninggal dunia dalam anggaran tempoh sebulan. Hasil bedah siasat yang telah dijalankan oleh doktor pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru mendapati punca kematian unascertained (advance decomposition),” katanya dalam kenyataan.
Kumarasan berkata, siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan masih belum berkahwin dan bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di kawasan Taman Tunku Aminah, Johor Bahru.
Menurutnya, wanita berkenaan tidak datang bekerja sejak 24 September 2024.
Jelasnya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada unsur-unsur jenayah dikesan melibatkan punca kematian si mati.
“Waris si mati dalam tindakan kesan oleh pihak polis,” ujarnya ringkas ditanya berkenaan waris mangsa yang semuanya sudah berhijrah ke Singapura. – MalaysiaGazette
















