tiket penerbangan MCA PRN
Tan Teik Cheng

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa gabungan itu akan tetap menggunakan lambang dacing sebagai simbol rasmi dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan parti komponen serta akar umbi.

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, penggunaan lambang BN sememangnya sudah menjadi amalan dan tidak pernah menjadi isu namun kenyataan tersebut menimbulkan persoalan sama ada BN akan terus bekerjasama dengan kerajaan perpaduan dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU akan datang.

“Isu utama yang dibangkitkan oleh ahli-ahli dan akar umbi MCA ketika ini adalah hala tuju BN dalam PRU-16 bukannya soal lambang atau bendera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon sebelum ini yang memaklumkan  MCA telah memberikan tempoh dua tahun kepada BN untuk membuat penyelarasan selepas PRU-15 bagi menentukan hala tuju parti.

Namun sehingga kini, tiada sebarang penjelasan konkrit yang diberikan oleh pimpinan tertinggi BN.

Dalam pada itu, Teik Cheng turut menegaskan  isu pengagihan kerusi bagi PRU-16 tidak pernah dibincangkan secara khusus dalam mana-mana mesyuarat kepimpinan tertinggi MCA setakat ini.

“MCA berharap agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN dapat mengadakan perbincangan dalaman bersama parti-parti komponen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman berkaitan pengagihan kerusi,” katanya lagi.

Tambah beliau, semua keputusan berkaitan perkara dasar seperti itu mestilah dibuat secara konsensus dan berlandaskan semangat muafakat dalam BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.