HPG di Bandar Seri Alam, Masai Johor Bahru dijangka beroperasi secara berfasa bermula bulan depan.

JOHOR BAHRU – Hospital Pasir Gudang (HPG) di Bandar Seri Alam, Masai, di sini, yang dibina dengan kos lebih RM380 juta dijangka beroperasi pada bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon memberitahu, projek tersebut sudah diserahkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ketika ini kita sedang membuat persiapan akhir bagi pengoperasian sebahagian di HPG.

“HPG sah akan mula beroperasi pada Julai ini secara berfasa, kita mula dengan beberapa jabatan tertentu dahulu seperti unit kecemasan, kesihatan awam dan pembedahan am.

“Kita ada 14 klinik pakar di HPG. Mungkin sebahagian klinik pakar tersebut akan dikemudiankan kerana kita perlu dapatkan doktor-doktor pakar ataupun pasukannya yang lengkap sebelum menawarkan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Majlis Penyerahan Cek Yayasan Sultanah Fatimah 2025 kepada Kolej Universiti Selatan, Skudai di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Kolej Universiti Selatan, Datuk Vincent Tan Meng Seng dan Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah, Mejar Cina Negeri Johor, Datuk David Wong Khong Soon.

HPG memulakan pembinaannya secara rasmi sejak 2020 namun melalui fasa yang sukar kerana melalui tempoh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, beberapa jawatan yang penting telah dibuat lantikan antaranya Pengarah, Timbalan Pengarah dan sedang susun atur pekerja-pekerja ataupun pejawatan yang perlu ada dalam HPG.

Katanya, bagi memastikan hospital tersebut beroperasi pada tahap optimum, HPG memerlukan lebih 1,800 penjawatan dalam semua jabatan yang terlibat.

HPG katanya, mendapat kelulusan pejawatan lebih daripada 1,800 namun mengakui ada kekangan capai angka berkenaan.

“Oleh itu, kami sedang buat perancangan untuk mohon dengan pihak kementerian supaya mereka hantar jururawat dan doktor untuk berkhidmat di HPG ataupun akan pindah sebahagiannya daripada fasiliti yang sedia ada supaya bantu HPG beroperasi bulan depan,” jelasnya.

Tambahnya, HPG memerlukan tempoh masa setahun bagi mengisi penjawatan yang diperlukan sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.

“Kita jangka HPG akan beroperasi sepenuhnya pada tahun depan. Bagi masa setahun supaya kami dapat penuhkan semua penjawatan dan juga lengkapkan doktor pakar dan mesin-mesin yang ada di hospital tersebut supaya kami boleh beroperasi secara sepenuhnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast