KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi berpendapat, pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dikuatkuasakan awal bulan depan tidak akan memberi kesan negatif yang ketara kepada golongan M40.
Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, majoriti barangan yang akan dikenakan kenaikan kadar cukai adalah barangan yang kebiasaannya dibeli oleh golongan T20.
Pakar ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menjelaskan, kedua-dua golongan B40 dan M40 masih dapat menikmati barangan asas dan tempatan dengan harga yang sama.
Beliau bersetuju bahawa SST lebih mensasarkan golongan tertentu berkaitan pembelian barangan mewah dan perbelanjaan yang sesuai dengan pendapatan mereka.
“Ya, kenaikan kadar SST lebih kepada barangan mewah dan import yang kebiasaannya dibeli oleh golongan T20.
“Inflasi akan naik tapi cuma sedikit kenaikan sahaja. Bank Negara Malaysia (BNM) juga meramalkan kenaikan tidak sampai tiga peratus tahun ini,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.
Ahmed Razman ditanya sama ada pelarasan SST memberi kesan besar kepada golongan M40 kerana rata-rata berpendapat mereka akan ‘tersepit’ apabila ia dikuatkuasakan 1 Julai ini.
Pas dalam kenyataan pada 13 Jun lalu berpendapat, semua lapisan masyarakat, terutama golongan B40 dan M40 didakwa bakal merasai kesan langsung susulan pengumuman kerajaan mengenai perluasan SST.
Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat, Shahir Adnan berkata, kenyataan Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) bahawa hampir 97 peratus barangan kini dikenakan cukai memberikan makna hampir semua barang dicukai ketika ini tanpa mengira golongan berpendapatan rendah atau sederhana.
Semakan dan perluasan skop SST diumumkan kerajaan bertujuan menambah hasil dan meluaskan asas percukaian.
Penambahbaikan ini dilaksanakan secara bersasar bagi memastikan hanya barangan pilihan dan perkhidmatan bukan asas dikenakan cukai, manakala barangan keperluan asas kekal dikecualikan.
Skop cukai perkhidmatan (CP) sedia ada turut diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan. – MalaysiaGazette
















