Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknoogi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib ditemui selepas Majlis Pelancaran AI For Productivity Transformation dan Majlis Penutup Program SPEED GCPV, di Pahang Skills, di sini hari ini.

KUANTAN – Zon Teknologi Tinggi Pahang yang bakal dibangunkan memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat pemaju teknologi Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan data besar.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknoogi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, ia sebahagian daripada rancangan kerajaan negeri melatih bakat-bakat dalam industri AI selain menarik minat syarikat-syarikat pemaju AI di seluruh dunia untuk berpengkalan di koridor Pantai Timur.

“Mereka (syarikat pemaju AI) juga boleh menjadi sebahagian ekosistem AI dan syarikat perintis yang sedang dibangunkan di Pahang.

“Lokasinya akan kita tentukan dan maklumkan nanti, tapi kemungkinan besar cadangan lokasi di sekitar Kuantan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran AI For Productivity Transformation dan majlis Penutup Program SPEED GCPV, di sini, hari ini.

Jelas Mohamad Nizar, masyarakat perlu bersiap siaga dalam menghadapi cabaran perubahan setiap aspek kehidupan seiring kemajuan teknologi AI yang semakin pesat.

Justeru, kewujudan Zon Teknologi Tinggi Pahang yang dijangka menarik pelabur-pelabur dalam dan luar negara turut menyediakan peluang melatih bakat-bakat tempatan dalam industri berasaskan AI.

“Teknologi AI akan hadir dalam kalangan kita dan akan mengubah cara kita bekerja, mengubah proses-proses dalam alam pekerjaan, dan industri. sama ada kita suka atau tidak.

“Oleh itu, kita di negeri Pahang ini perlu bersiap siaga sebaik mungkin untuk menghadapi peluang mahupun cabaran yang akan dilontarkan oleh kecerdasan buatan ni,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan meneliti insentif bagi menggalakkan lebih banyak syarikat pemaju AI yang boleh bertapak di sini selain daripada di Lembah Klang atau negeri lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast