KUANTAN – Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baru-baru ini disifatkan sebagai tidak berasas.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Indera Mahkota, Ts. Ahmad Saifullah Razali berkata, kenyataan itu hanya memperlihatkan sikap populis tanpa mengambil kira konteks sebenar dasar fiskal semasa.
“AMK Indera Mahkota memandang serius kenyataan beliau yang mendakwa kononnya Perdana Menteri ‘terlepas pandang’ dalam pelaksanaan sistem cukai SST hingga menyebabkan harga biskut dan santan bakal meningkat.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan tokoh biasa.
“Beliau merupakan Menteri Kewangan pertama dalam sejarah negara yang berjaya membentangkan belanjawan lebihan (surplus) selama lapan tahun berturut-turut di mana ia satu pencapaian yang tidak pernah diulangi oleh mana-mana Menteri Kewangan selepas beliau,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ahmas Saifullah, langkah reformasi cukai melalui SST hari ini adalah sebahagian daripada pelan pemulihan fiskal yang mampan dan progresif.
Jelasnya, sistem subsidi bersasar, kawalan harga yang teratur dan perluasan kutipan hasil negara adalah strategi jangka panjang untuk memastikan Malaysia bebas dari ketirisan, rasuah serta ketergantungan luar.
Justeru, katanya, AMK Indera Mahkota menyeru semua pihak, khususnya anak muda, untuk menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan rekod, bukan berdasarkan persepsi dan propaganda murahan.
“AMK Indera Mahkota berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan MADANI,” katanya lagi.
Dua hari lepas, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan mempertahankan peluasan skop cukai SST khususnya terhadap buah-buahan import, dengan menyatakan langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya. – MalaysiaGazette
















