Rumah ibadat

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk menyemak semula sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 harus memberi perhatian khusus terhadap nasib rumah-rumah ibadat di negara ini.

Menurut Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar, walaupun pelaksanaan SST baharu itu bertujuan memperkukuh kedudukan fiskal negara, kerajaan tidak boleh meminggirkan aspek kerohanian yang menjadi tunjang perpaduan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

“Mahima menghargai jaminan Kementerian Kewangan bahawa barangan keperluan asas harian akan terus dikecualikan daripada cukai jualan. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

“Tetapi, saya mohon kepada kerajaan supaya juga meneliti kesan peluasan skop cukai perkhidmatan yang turut meliputi sektor pembinaan termasuk rumah ibadat.

“Perkhidmatan pembinaan yang dikenakan cukai 6 peratus kepada kontraktor yang mencapai nilai ambang RM1.5 juta setahun akan memberi kesan langsung terhadap projek-projek pembinaan rumah-rumah ibadat,” katanya dalam kenyataan. 

Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar.

 

Walaupun kerajaan menetapkan ambang tinggi itu bagi mengurangkan beban kontraktor kecil dan sederhana, Sivakumar berkata, rumah ibadat tidak termasuk dalam senarai kemudahan awam yang dikecualikan secara eksplisit.

“Rumah ibadat bukan sekadar bangunan fizikal, ia adalah pusat perpaduan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti. Jika kediaman dan kemudahan awam berkaitan perumahan dikecualikan, mengapa rumah ibadat tidak boleh diberi pengecualian serupa,” soal beliau.

Sehubungan itu, Sivakumar mencadangkan agar kerajaan mengkategorikan pembinaan rumah-rumah ibadat sebagai sebahagian daripada kemudahan awam dan memberi pengecualian cukai perkhidmatan secara rasmi.

“Tindakan ini bukan sekadar berkaitan ekonomi. Ia adalah satu keputusan moral dan mencerminkan kepekaan kerajaan terhadap keperluan rohani masyarakat Malaysia.

“Saya amat yakin kerajaan Madani berpegang pada prinsip keadilan, keterangkuman dan hormat antara agama akan mempertimbangkan perkara ini secara saksama demi keharmonian dan perpaduan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast