KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tegas dengan pendirian liberalisme dan pluralisme agama merupakan fahaman yang amat berbahaya kerana ia menggugat asas akidah dan merosakkan panduan hidup Islam.
Presidennya, Shuhaib Ar-rumy Selamat berkata, pemahaman liberalisme jelas menolak autoriti wahyu dan meletakkan akal bebas sebagai penentu mutlak kebenaran.
Sementara itu, jelas beliau, pemahaman pluralisme pula menyamakan semua agama dan menafikan bahawa hanya Islam sahaja sebagai agama yang benar dan diredhai Allah SWT.
“Kedua-duanya telah dinyatakan oleh para ulama muktabar sebagai menyimpang dan membawa kepada kesesatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shuhaib Ar-rumy, sebagai sebuah gerakan Islam yang komited dalam mempertahankan akidah dan identiti umah, ISMA menyokong penuh tindakan institusi fatwa dalam menangani penyelewengan pemikiran liberalisme dan pluralisme.
Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya menolak sepenuhnya sebarang cubaan untuk mencabar institusi fatwa atau mempermainkan isu akidah atas nama hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.
“Ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah prinsip utama dalam kehidupan Muslim, dan sebarang fahaman yang mengajak umat Islam keluar daripada kerangka syariah wajib ditolak dengan tegas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru pihak media supaya lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu sensitif berkaitan Islam dan akidah.
Ujarnya, tajuk-tajuk berita yang tidak tepat khususnya berkenaan hanya akan mencetus kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam.
“ISMA turut mengajak umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan slogan-slogan lunak yang bertopengkan keadilan dan kebebasan mutlak, tetapi hakikatnya membawa kepada kerosakan terhadap agama dan ummah,” katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan sebahagian rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta membenarkan rayuan perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa kepada pertubuhan dan institusi.
Dalam keputusan majoriti 3-1, Tengku Maimun menyatakan bahawa keputusan itu hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan. – MalaysiaGazette
















