KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi esok akan memutuskan sama ada Datuk Seri Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibicarakan terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Bekas Perdana Menteri sudah menunggu perkembangan kesnya selama enam tahun sejak didakwa pada 2019 manakala representasi bagi mengugurkan pertuduhan dikemukakan pada 2023.
Keputusan itu akan disampaikan oleh Hakim K. Muniandy selepas meneliti penghujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul pada sebutan kes minggu lalu.
Pada prosiding itu, beliau memerlukan tempoh seminggu untuk meneliti kronologi kes dan menetapkan esok untuk keputusannya.
Mahkamah ketika itu diberitahu, Muhammad Shafee memohon Najib diberikan DNAA atas alasan perintah tersebut ketika ini merupakan yang terbaik dan paling sesuai diberikan kepada anak guamnya.
Hujah beliau, ia kerana tiada ketentuan perbicaraan akan dimulakan dalam tempoh terdekat kerana pihak pendakwaan memerlukan masa untuk mendapatkan dokumen yang telah digunakan sewaktu perbicaraan kes SRC melibatkan dana RM42 juta.
“Najib didakwa pada 2019 manakala representasi dikemukakan pada 31 Julai 2023. Kes ini berjalan sejak 2019 dan kelewatan selama enam tahun.
“Selain itu, dokumen berkaitan kes SRC disimpan di sana sini termasuk di Mahkamah Persekutuan dan berkaitan prosiding sivil.
“Tertuduh tidak seharusnya dibiar menunggu selama-lamanya sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan. Keadilan perlu jelas dan dipastikan kepada kedua-dua pihak,” ujar Muhammad Shafee.
Bagaimanapun, Mohd. Ashrof membantah permohonan DNAA tersebut kerana pihaknya bersedia mengendalikan kes selepas representasi Najib untuk menggugurkan pertuduhan ditolak pendakwa raya.
Mohd. Ashrof berkata, sebanyak 807 eksibit telah dikemukakan dalam perbicaraan SRC sebelum ini (di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nazlan Ghazali) dan pendakwaan memerlukannya untuk digunakan pada perbicaraan kes dana RM27 juta.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette
















