KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) yang mengadakan sesi libat urus bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai masa depan industri e-hailing dan p-hailing disambut baik, namun ia turut menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh gabungan wakil pemandu dan penghantar, pendekatan MoT itu dilihat terlalu terhad dan tidak mencerminkan sifat keterangkuman yang seharusnya menjadi asas kepada dasar Kerajaan Madani.
“Sebagai kerajaan yang inklusif, sesi libat urus sebegini seharusnya merangkumi penyertaan yang lebih meluas, khususnya daripada pertubuhan yang benar-benar mewakili suara dan kepentingan pemandu serta penghantar di lapangan,” kata gabungan itu hari ini.
Mereka berpendapat, langkah MoT yang hanya melibatkan satu pihak dalam sesi perbincangan berisiko mengetepikan realiti harian yang dihadapi oleh majoriti pekerja dalam sektor gig.
“Libat urus yang bersifat sepihak bukan sahaja mencetuskan persoalan tentang ketelusan proses membuat keputusan, malah gagal menggambarkan keadaan sebenar industri yang melibatkan ribuan pemandu dan penghantar di seluruh negara,” jelas kenyataan itu lagi.
Gabungan berkenaan berkata, NGO yang aktif dan terbukti mewakili suara pekerja lapangan perlu diberi ruang kerana mereka memahami isu akar umbi seperti ketidaktentuan pendapatan, ketiadaan perlindungan sosial serta ketidakseimbangan kuasa antara syarikat platform dan pekerja.
“Tanpa keterlibatan mereka, dasar yang dirangka berpotensi besar tidak berpijak di bumi nyata dan akhirnya merugikan mereka yang paling terkesan,” tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menggesa MoT untuk mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan terbuka dengan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam sektor e-hailing dan p-hailing bagi memastikan setiap dasar yang digubal lebih adil, berkesan dan berasaskan data serta pengalaman sebenar.
“Keterbukaan dan penyertaan inklusif adalah kunci kepada pembangunan mampan industri ini demi manfaat semua, khususnya mereka yang menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan setiap hari,” tegas mereka. – MalaysiaGazette
















