KUALA LUMPUR – Fungsi wartawan sebagai pembentang seluruh kebenaran kini menjadi kian mencabar.
Justeru menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, wartawan bertanggungjawab memecahkan cabaran itu dengan liputan yang inklusif dan berimbang di samping memastikan suara minoriti tidak tersisih serta fakta tidak dimanipulasi.
Tambahnya, persoalan mengenai etika dan integriti di tengah arus digital yang mana berita palsu mudah tersebar, teori konspirasi pula menjalar di ranah yang subur menyebabkan kepercayaan publik terhadap media semakin tercabar.
Maka di situlah wartawan moden mesti kembali kepada asas berpegang teguh pada kebenaran dan tanggungjawab sosial, ujar Zambry.
“Komitmen terhadap kebenaran dan tanggungjawab sosial menjadikan profesion kewartawanan tunjang utama dalam masyarakat yang berinformasi.
“Peranan wartawan sebagai pemegang amanah yang mengendong maklumat makin penting untuk menapis fakta daripada kepalsuan, melapor dengan saksama dan menegakkan prinsip “berkata benar walau pahit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2025 (Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024), di sini hari ini.
Menurut Zambry lagi, wartawan bukan sekadar pelapor peristiwa, malah merupakan “penjaga nurani demokrasi”.
Wartawan juga katanya, adalah pengawal hati nurani masyarakat yang sentiasa bergejolak dengan pertanyaan penuh rasa ingin tahu mengenai apa yang benar dan apa yang adil.
“Tokoh pemikir dan falsafah, Albert Camus, mengingatkan kita, akhbar bebas tentu saja boleh menjadi baik atau buruk, tetapi tanpa kebebasan ia pasti akan menjadi buruk belaka.
“Pesan Camus ini menegaskan betapa kebebasan media adalah prasyarat kepada media yang berintegriti. Tanpa kebebasan, “wartawan kehilangan jiwa”, dan “khalayak kehilangan suara,” ujarnya.
Tambahnya, di dalam konteks kewartawanan, erti kata Martí ini menggariskan bahawa kebebasan akhbar menjamin wartawan dapat berkata benar dengan tulus, tanpa takut atau berpura-pura.
Katanya, hanya dengan kebebasan dan kejujuran beginilah demokrasi dapat berfungsi dengan sihat, kerana maklumat yang diterima rakyat adalah sahih lagi telus. – MalaysiaGazette
















