Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara membanjiri Dataran Putarajaya hari ini bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, semua perancangan yang disusun berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Alhamdulillah, segala perancangan kita berjalan dengan baik. Kita dapat saksikan lebih daripada 100,000 orang telah hadir dan tidak ada apa-apa insiden yang tidak diingini.

“Semua perancangan berjalan dengan baik, cuaca juga sangat baik hari ini dan kita mengikut jadual seperti yang telah dirancang.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Ramai yang datang dari seluruh pelosok negara untuk bersama menyambut hari yang sangat bermakna dan cukup keramat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Fahmi turut melahirkan rasa syukur dengan cuaca yang baik sepanjang acara itu berlangsung.

“Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat-sangat baik. Berkat doa dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Ia termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi berkaitan yang telah memantau dan mereka juga bersedia untuk melakukan pemeriksaan awan.

Ujarnya lagi, pengunjung yang masih berada di Putrajaya boleh menikmati pelbagai aktiviti dan pameran yang disediakan termasuk di Anjung Floria serta Rio Merdeka di Monumen Alaf Baharu.

“Kita juga menyediakan banyak trak makanan untuk pengunjung. Gunakan peluang ini untuk beriadah bersama keluarga,” katanya lagi.

Mengenai Sambutan Hari Malaysia 2026, Fahmi berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada 5 September bagi memuktamadkan persiapan akhir sambutan yang dijadual berlangsung di Borneo Cultural Centre, Kuching pada 16 September.

Ujarnya, selain acara rasmi pada sebelah malam, pelbagai program sampingan turut disusun di sekitar Borneo Cultural Centre dan Plaza Merdeka.

“Kita ada pameran, eksibisi sejarah pembentukan Malaysia dan pelbagai acara lain yang telah disusun. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk platform Merdeka 360,” katanya lagi.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran rakyat dari seluruh negara ke Kuching bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here