Abbas Araqchi

TEHRAN – Amerika Syarikat perlu memikul sepenuhnya tanggungjawab terhadap akibat serangannya ke atas fasiliti nuklear Iran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi pada satu sidang media di sela-sela mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul pada hari Ahad berkata, AS telah melanggar semua peraturan dan undang-undang antarabangsa dengan menyerang tapak nuklear Iran.

Beliau memberi amaran AS mesti menerima tanggungjawab penuh atas akibat buruk daripada tindakan agresif tersebut.

Menekankan hak Iran untuk mempertahankan diri mengikut Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Araqchi menegaskan Tehran berhak mempertimbangkan pelbagai pilihan sebagai tindak balas terhadap serangan AS.

Iran tidak akan sekali-kali berkompromi terhadap kedaulatan, kemerdekaan dan integriti wilayahnya, tegas menteri luar itu, sambil menambah ehran akan menggunakan “segala alat dan penyelesaian yang mungkin dan diperlukan” untuk mempertahankan dirinya.

Hanya jika tindakan agresif terhadap Iran dihentikan, barulah Tehran akan mempertimbangkan semula untuk menyambung rundingan diplomatik, jelas beliau.

AS telah campur tangan dan melancarkan serangan ketenteraan terhadap tiga tapak nuklear di Iran awal pagi Ahad, ketika perang pencerobohan rejim zionis terhadap Iran memasuki hari ke-10. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast