Tertuduh, Tan Soo Kian, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan dan 30 butir peluru ball bearing, dua minggu lalu.

MELAKA – Seorang bapa anak orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan dan 30 butir peluru ball bearing, dua minggu lalu.

Tertuduh, Tan Soo Kian, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani sebaik tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didapati telah memiliki sepucuk pistol tiruan jenama ‘Pietro Beretta Gardone V.T buatan Italy bernombor siri E202265Z dan 30 butir peluru ball bearing yang digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali dan hendaklah dikenakan hukuman sebat di bawah Seksyen 33 Akta Senjata 1960.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan khianat memecahkan cermin tingkap kereta menyebabkan penama Tan Wei Kuan, 36, kerugian RM500.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun sehingga lima tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 427 kanun Keseksaan.

Semua perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Johor, Taman Semabok, Semabok dalam daerah Melaka Tengah, di sini kira-kira pukul 12.24 malam 8 Jun lalu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kesemua tiga pertuduhan.

Peguam Saravanan Rajandran bagaimanapun memohon jaminan RM4,000 bagi kesemua pertuduhan kerana anak guamnya hanya berniaga dalam talian dan merupakan bapa tunggal yang menjaga dua anak kembar berusia 14 tahun termasuk seorang berstatus OKU.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Uthman membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 serta syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 28 Julai ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast