KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 13 April 2026 bagi mendengar kes pecah amanah melibatkan pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof, dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan itu bermula dari 13 hingga 17 April kemudian disambung pada 18 hingga 22 Mei dan seterusnya dari 8 hingga 12 Jun tahun hadapan.
Selain itu, mahkamah menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes tersebut.
Ketika prosiding hari ini, kedua-dua pasangan itu tidak hadir kerana dipercayai masih berada di Mekah selepas mendapat kebenaran mahkamah sebelum ini.
Pada Disember lalu, mahkamah turut membenarkan permohonan pasangan berkenaan untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa secara sementara bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah umrah.
Tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah menyalahgunakan dana pelaburan berjumlah RM8 juta milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), yang dipercayai berlaku sekitar enam tahun lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, dana berkenaan didakwa diseleweng di Public Bank Cawangan Bukit Damansara, Plaza Damansara, pada 21 Ogos 2018.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala pasangan itu diwakili peguam Ashok Athimulan. – MalaysiaGazette
















