Kompleks Mahkamah Alor Gajah

ALOR GAJAH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan memukul kepala abang iparnya menggunakan batu, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Shafiq Suwarno, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 33 tahun dengan cara memukul kepala mangsa menggunakan batu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor, Felda Bukit Bulat dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 12.30 tengah hari 16 Jun lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000 beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa yang juga abang iparnya.

Peguam Loong Meng Si bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sudah insaf selain hanya bekerja kampung dengan pendapatan RM70 sehari.

Tertuduh juga perlu menanggung ibunya yang menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula 13 Ogos ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast