Steven Sim Chee Keong berucap dalam Majlis Menandatangani Enam Perjanjian Bersama antara AMESU, UNI-MLC, MAPA dan IUF Asia/Pacific Regional Secretary di sini, hari ini.

SHAH ALAM – Seramai 133,000 pekerja berkesatuan di seluruh negara telah mendaftar dan menerima Kad Pekerja Madani.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pencapaian itu menunjukkan keyakinan tinggi pekerja terhadap peranan kesatuan sekerja dan usaha kerajaan memperkasa hak serta kebajikan golongan pekerja.

“Inisiatif ini belum pun dilancarkan secara rasmi, tetapi kita sudah capai 133,000 pendaftaran.

“Minggu ini kita akan lancarkan sepenuhnya, dengan tambahan 5,000 lagi kad untuk diagihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Enam Perjanjian Bersama antara AMESU, UNI-MLC, MAPA dan IUF Asia/Pacific Regional Secretary di sini, hari ini.

Steven turut menyeru lebih ramai pekerja untuk segera memuat turun aplikasi Kad Pekerja Madani bagi menikmati pelbagai faedah secara percuma, khusus kepada ahli kesatuan sekerja.

Kad itu menawarkan diskaun eksklusif antara 20 hingga 40 peratus bagi barangan, perkhidmatan dan kemudahan di lebih 200 syarikat terpilih sepanjang tahun.

“Inilah ganjaran untuk mereka yang menyertai kesatuan. Kita mahu pekerja berkesatuan dihargai, dan inilah masanya untuk rebut peluang ini. Muat turun sekarang, jangan tunggu,” ujarnya.

Steven dalam pada itu menjelaskan, pelaksanaan Kad Pekerja Madani bukan sekadar menawarkan keistimewaan bersifat sementara, tetapi menjadi salah satu strategi kerajaan untuk menggalakkan penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja.

“Penyertaan aktif dalam kesatuan akan membuka ruang kepada lebih banyak Perjanjian Kolektif (CA) yang mampu menjamin gaji dan faedah lebih baik untuk pekerja.

“Ramai di luar sana tanya kenapa hanya ahli kesatuan dapat kad ini? Saya kata sebab saya nak galakkan lebih ramai menyertai kesatuan. Kalau kita nak pekerja lebih kuat, kesatuan mesti kuat,” tambahnya.

Pada majlis sama, enam CA ditandatangani serentak antara pihak kesatuan dan majikan, termasuk Malayan Agricultural Plantation Association (MAPA) yang mewakili lebih 120 syarikat perladangan.

Antara manfaat yang diperoleh menerusi perjanjian tersebut termasuk pelarasan gaji sebanyak 12 peratus, gaji permulaan melebihi kadar minimum iaitu RM1,800 berbanding RM1,700, selain bayaran tunggakan antara RM3,000 hingga RM10,000 berikutan pelaksanaan awal CA mulai Januari 2025.

Mengakhiri ucapannya, Steven sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan dalam menjadikan pekerja sebagai nadi utama pembangunan negara.

“Saya mahu pekerja di Malaysia tahu, kalau kita bersatu dan berorganisasi, kita akan lebih kuat. Dan Kad Pekerja Madani ini hanyalah permulaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast