KUALA LUMPUR – Tempoh peralihan pendaftaran pengamal profesion kesihatan bersekutu dilanjutkan selama 18 bulan kepada 31 Disember 2026 berbanding tarikh akhir asal pada 30 Jun ini.
Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM) menerusi kenyataan berkata, pelanjutan dibuat bertujuan untuk memberi ruang masa yang cukup kepada semua pengamal khususnya daripada sektor swasta melengkapkan dokumentasi dan memenuhi syarat-syarat pendaftaran serta permohonan perakuan amalan.
Selain itu keputusan yang dimuktamadkan dalam Mesyuarat MPKBM Ke-13 (Bil. 2/2025) itu mengambil kira keperluan untuk memastikan pelaksanaan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 [Akta 774] dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan, serta mengambil kira pertimbangan dasar, kepentingan pengamal dan kesejahteraan awam.
“Langkah ini juga bagi membolehkan penyelarasan data pengamal secara nasional dilaksanakan dengan lebih tepat seterusnya menyokong sistem pengesahan amalan yang sah dan meningkatkan ketelusan dalam pemantauan perkhidmatan
kesihatan,” katanya.
Tambahnya, MPKBM akan memperkenalkan modul baharu dalam sistem atas talian Malaysian Health Practitioners System (MHPS) bagi permohonan dan pengeluaran perakuan amalan mulai Jun 2025.
Menurutnya, setiap pengamal kesihatan bersekutu berdaftar diwajibkan memperoleh perakuan amalan sebelum tamat tempoh peralihan bagi menjalankan amalan secara sah.
“Sehubungan itu, semua individu yang menjalankan amalan dalam mana-mana profesion kesihatan bersekutu seperti yang diwajibkan untuk mengemukakan permohonan pendaftaran kepada MPKBM sebelum atau pada 31 Disember 2026 dan memperoleh perakuan amalan yang sah dalam tempoh pelanjutan yang ditetapkan,” jelasnya.
MPKBM menegaskan sebarang amalan tanpa pendaftaran dan perakuan amalan yang sah selepas tarikh tersebut adalah salah dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 774.
“Akta ini diwujudkan bagi melindungi masyarakat dengan memastikan amalan hanya dijalankan oleh individu yang berkelayakan, kompeten dan beretika.
Orang awam juga disarankan mendapatkan perkhidmatan hanya
daripada pengamal berdaftar dengan perakuan amalan yang sah bagi menjamin kualiti dan keselamatan rawatan.- MalaysiaGazette
















