Rombongan UTeM melawat Azam di Ibupejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berhasrat untuk menganjurkan program simposium yang julung kali diadakan dengan memberi fokus kepada isu-isu integriti dan pencegahan rasuah dalam bidang akademik.

Hasrat itu dinyatakan oleh Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, simposium yang bakal diadakan pada Ogos ini melibatkan empat universiti teknikal iaitu UTeM selaku tuan rumah, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“UTeM berhasrat menjemput Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi memberikan perkongsian demi meningkatkan kefahaman dan kepatuhan kepada undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa mengenai integriti dan antirasuah di Malaysia.

“Pada masa sama, UTeM juga ingin mengadakan majlis perasmian Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR), peluncuran polisi penerimaan hadiah dan Ikrar Bebas Rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, UTeM amat berterima kasih kepada SPRM dan sedia bekerjasama bagi melaksanakan program-program lain yang bersesuaian.

Sementara itu, Azam menyambut baik hasrat UTeM dan sebagai menyokong usaha murni ini, SPRM Melaka akan turut terlibat sebagai sekretariat bersama bagi menjayakan simposium ini.

Menurutnya, SPRM turut menyokong penuh sekiranya UTeM ingin berkolaborasi bagi melaksanakan program atau aktiviti bersesuaian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast