Ibu kandung kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun berketurunan Murut (kanan) yang disyaki mati didera bapa tirinya di rumah mereka pagi tadi selesai membuat pengecaman mayat anaknya itu di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.

MELAKA – Ibu kandung dan bapa tiri seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang mati disyaki didera di rumah mereka di sini pagi tadi akan direman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, esok di bawah kes bunuh.

Menurut sumber, permohonan reman terhadap pasangan berusia pertengahan 30-an itu bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ya, kedua-dua pasangan suami isteri ini akan direman esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini malam ini.

Keadaan rumah kanak-kanak 9 tahun maut dipercayai didera bapa tiri.
Foto Reza A. Hamid

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kejadian terbongkar pada pukul 9.45 pagi tadi selepas pihak polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta.

Sumber berkata, doktor memaklumkan terdapat kesan disyaki didera selepas mangsa dihantar bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan.

Doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lembam di kepala dan badan.

“Pesakit kemudian meninggal dunia di wad kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi tadi,” katanya.

Terdahulu, wanita warga Indonesia yang juga ibu kepada kanak-kanak berketurunan Murut itu selesai membuat pengecaman anaknya itu di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira pukul 4.12 petang tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast