KUANTAN – Seramai 82 orang pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 di Pahang mendapat keputusan tertinggi PNGK 4.00 bersamaan 4.01% berbanding dengan pencapaian tahun 2023, yang merekodkan 5.46% atau seramai 106 orang calon.
Walaupun berlaku penurunan pencapaian, baik dari segi jumlah mahupun peratus, jumlah calon yang memperoleh PNGK 4.00 masih lagi menunjukkan angka yang besar berbanding beberapa tahun sebelumnya.
Manakala seramai 1,142 calon STPM 2024 bersamaan 55.90% berjaya memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.00 di negeri ini.
Rekod itu sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding 1,091 calon pada tahun 2023 yang menunjukkan pertambahan calon seramai 51 orang.
Seramai 1,698 calon bersamaan 83.11% telah mencapai lulus penuh dalam kesemua mata pelajaran yang diambil.
Prestasi kualiti pencapaian pusat tingkatan enam di Negeri Pahang diukur melalui Gred Purata Sekolah (GPS) mencatakan 3.02, masih kekal di atas paras 3.00 tetapi sedikit menurun daripada tahun 2023 iaitu 0.01 mata sahaja.
Bagaimanapun, GPS Pahang tahun 2024 masih kekal mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPN) 2.85.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut dengan 55 orang calon muncul sebagai pusat tingkatan enam terbaik dalam STPM 2024 peringkat negeri Pahang dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 3.56.
Ia diikuti oleh SMK LKTP Tersang, Raub dengan memperolehi GPS 3.43. SMK Sulaiman, Bentong dan SMK Seri Jengka, Maran memperolehi GPS 3.40.
Pada tahun 2024, seramai 2,089 orang calon sekolah kerajaan telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM berbanding dengan 1,974 orang calon pada tahun 2023 di negeri ini.
Tahun lalu Pahang masih mengekalkan sebanyak 21 mata pelajaran yang ditawarkan kepada calon-calon STPM. – MalaysiaGazette
















