SELAYANG – Menjadi salah seorang pelajar yang kurang upaya tidak mematahkan semangat Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2024.
Pelajar St. John’s Institution itu berkata, semangatnya tidak pernah luput untuk meneruskan pelajaran di tingkatan 6 demi mencapai cita-citanya sebagai guru, suatu hari ini.
Sebagai pelajar cacat penglihatan, Nik Muhamad berkata, cabaran utama yang dihadapinya sebelum ini adalah bersaing dengan pelajar normal di sekolahnya.
Namun katanya, beliau berjaya menyesuaikan diri dengan pelajar-pelajaran yang lain sekali gus bersaing dengan mereka.
“Antara cabaran yang saya hadapi adalah menyesuaikan diri di sekolah yang bercampur dengan pelajar biasa.
“Pada mulanya, saya ‘kejutan budaya’. Tetapi apabila sebulan selepas itu, saya bertambah baik dan dapat menyesuaikan diri dengan pelajar lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW 2024 yang berlangsung di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), hari ini.
Muhamad Ahnaf berjaya mendapat keputusan 4A dalam peperiksaan tersebut.
Tambahnya, keluarga sentiasa menjadi sumber inspirasinya untuk melakar kejayaan pada hari ini.
“Saya terinspirasi daripada keluarga besar saya yang banyak memberikan nasihat kepada saya supaya meneruskan pelajaran untuk mendapat kejayaan.
“Mereka pun ramai yang berjaya, dari situ saya berusaha untuk mencapai apa yang saya inginkan dengan kecemerlangan hari ini,” katanya lagi.
Beliau berharap kejayaannya pada hari ini menjadi motivasi kepada golongan yang senasib dengannya supaya terus semangat untuk menjadi pelajar dan insan yang berjaya.
Muhamad Ahnaf berkata, kekurangan diri tidak boleh dijadikan penghalang untuk seseorang berjaya dalam kehidupan.
“Nasihat saya kepada mereka yang kurang upaya, teruskan sambung pengajian kerana laluan akademik salah satu cara mencapai kejayaan.
“Jangan berputus asa dengan kekurangan diri kerana peluang samgat cerah (dengan sambung pelajar ke peringkat lebih tinggi),” jelasnya yang berhasrat untuk menjadi guru dan melahirkan anak bangsa yang berkebolehan satu hari nanti.- MalaysiaGazette
















