JOHOR BAHRU – Tujuh calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang 5A.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamim berkata, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) pula dicatatkan sebanyak 2.95 melebihi PNGK kebangsaan iaitu 2.85.
Apa yang lebih membanggakan katanya, PNGK Johor telah mengatasi PNGK Kebangsaan untuk lima tahun berturut-turut.
“Seramai 3,952 calon berdaftar dengan kadar kehadiran 97.60 peratus atau 3,857 calon. Daripada jumlah itu, tujuh calon memperoleh keputusan 5A dan 167 calon mendapat 4A.
“Seramai 170 calon (4.41 peratus) berjaya memperoleh PNGK maksimum 4.00, manakala 516 calon (13.38 peratus) mendapat PNGK 3.75 ke atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, selain itu, 1,464 calon (37.96 peratus) memperoleh PNGK 3.00 ke atas, 532 calon (13.79 peratus) meraih PNGK 2.75 ke atas dan 1,091 calon (28.29 peratus) mencapai PNGK 2.00 ke atas.
Menurutnya, calon aliran Sains Sosial mencatat jumlah tertinggi iaitu 3,472 orang (90.02 peratus), manakala 385 calon (9.98 peratus) terdiri daripada aliran Sains.
“Secara keseluruhan, 77.91 peratus atau 3,005 calon di Johor berjaya lulus penuh,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua guru, ibu bapa dan pelajar atas usaha gigih dan kerjasama yang membawa kepada pencapaian membanggakan itu. – MalaysiaGazette
















