KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui pengawal selia huluannya, Malaysia Petroleum Management (MPM) menandatangani satu kerjasama strategik dengan Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd bagi memperkukuh pengurusan bahan dan pergudangan huluan di pangkalan bekalan Kemaman.
Pangkalan Bekalan Kemaman merupakan anak syarikat kepada Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC).
Kerjasama itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Kanan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi MPM, Handan Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Bacho Pilong berkata, MoU tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam sektor penerokaan dan pengeluaran (E&P).
“Rantaian bekalan kami yang bersepadu dan mudah diakses menyokong aktiviti E&P di seluruh negara.
“MoU ini menggariskan matlamat kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan, penyeragaman operasi dan penyelesaian berasaskan teknologi dalam rantaian nilai minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian tersebut bertujuan untuk menubuhkan pusat sehenti di Kemaman bagi menyediakan perkhidmatan logistik menyeluruh untuk operasi huluan.
Salah satu inisiatif utama ialah pembukaan gudang berpusat perintis di pangkalan bekalan Kemaman yang dijangka memulakan operasi pada tahun 2026.
Gudang ini akan menggunakan alat digital, aliran kerja yang diseragamkan, dan infrastruktur bersepadu bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Petronas berkata, inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan keterlihatan rantaian bekalan, mengurangkan kos inventori dan meminimumkan lebihan bahan — kesemua ini penting untuk meningkatkan ketangkasan dan daya tahan operasi dalam sektor huluan Malaysia.
“Petronas kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam mengurus sumber petroleum dan tadbir urus sektor huluan,” tambahnya. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















