MELAKA – Seorang murid lelaki berusia 11 tahun cedera parah akibat pendarahan di kepala dipercayai didera bapanya di rumah mereka di Banda Hilir, di sini Khamis lalu.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas pihak sekolah di Tengkera menerima laporan itu daripada keluarga murid tahun lima berkenaan pada hari yang sama.
“Murid lelaki terbabit mengalami pendarahan di bahagian atas kepala dipercayai didera bapanya sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun selepas dua hari di hospital, keadaan mangsa semakin stabil dan ditempatkan di wad biasa,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya difahamkan, kejadian itu bukanlah yang pertama kerana mangsa juga pernah dipukul bapanya sehingga meninggalkan kesan lebam sebelum ini.
“Murid terbabit pernah mengadu ke pihak sekolah dia dipukul di kaki dan badan sehingga lebam sebelum didera dengan lebih teruk kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















