Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada Sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran`Antara Dua Titah' ketika di KL Gateway, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JUN 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang peguam kanan menjelaskan, isu-isu yang dibangkitkan dalam siri Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran tidak menjurus kepada penghinaan mahkamah selagi ia tidak mengkritik mana-mana hakim yang mengendalikan prosiding.

Kamarudin Ahmad berkata, program yang dilaksanakan sejak tahun lalu tidak dilihat membuka ruang kepada tindakan menghina mahkamah kerana ahli panel tidak mengkritik proses perbicaraan.

Beliau yang juga seorang aktivis menjelaskan, ramai pihak yang silap faham berkaitan subjudis kononnya mereka langsung tidak boleh memberi komen berkaitan isu yang berlegar-legar dalam masyarakat.

“Ini tidak betul kerana kebanyakan ahli panel adalah peguam dan golongan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka berhak komen atau mengulas sesuatu kes yang sedang berjalan demi kepentingan awam.

“Tindakan menghina mahkamah hanya akan berlaku jika pihak-pihak mengkritik proses perbicaraan atau cara hakim mengendalikan kes,” ujar beliau kepada Malaysia Gazette minggu lalu.

Peguam kanan, Kamarudin Ahmad bercakap kepada media ketika di KL Gateway, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JUN 2025.(GAMBAR FAIL)

Kamarudin ditemui pada sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran Siri Keenam `Antara Dua Titah’ yang disertai oleh ahli-ahli panel terdiri daripada peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli korporat yang juga seorang penulis, Datuk Mohd. Omar Mustapha.

Sesi berkenaan yang bermula tahun lalu dianjurkan oleh AP Media Communications dan NMH Media Network mengulas pelbagai topik oleh golongan pakar dalam bidang tertentu.

Kamarudin selaku moderator menjelaskan, sesi keenam berkaitan isu `Antara Dua Titah’ membincangkan perbezaan titah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan pada 2018 dan titah adendum terhadap Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

“Dalam hal ini, kita perlu melihat keadilan kepada Najib, kalau isu ini meleret-leret nanti akan ada pula semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Ketika ini, Najib sudah berada di penjara selama empat tahun, jadi tahanan di rumah itu sudah tiada makna, dan keadilan terhadap Najib dinafikan,” ujar beliau.

Kamarudin selanjutnya menjelaskan, sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran bermula tahun lalu ketika timbul isu titah adendum yang ketika itu menjadi ‘misteri’ kepada masyarakat kerana ramai tidak mengetahui implikasinya daripada segi undang-undang.

Ujar beliau, lama kelamaan, ramai yang mula menyedari kedudukan titah adendum dan mengapa peguam Najib  memfailkan semakan kehakiman.

“Kemudian ramai pula yang masih tertanya-tanya mengapa titah adendum itu dibawa ke mahkamah, mengapa Peguam Negara ketika itu tidak bertindak atas titah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

“Kini masyarakat dapat melihat bahawa titah itu memang wujud dan Peguam Negara tidak mengumumkannya walhal surat titah itu ditujukan kepada Peguam Negara, hinggalah Perdana Menteri sendiri mengumumkan titah itu wujud,” ujarnya.

Menurut Kamarudin, bekas Perdana Menteri menang di Mahkamah Rayuan, namun Peguam Negara kini membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan atas beberapa persoalan perundangan dan rayuan itu akan didengar pada Selasa dan Rabu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast