TANGKAK – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mampu bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini BN sudah bersetuju menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN itu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, BN berhasrat membentuk persefahaman dengan parti atau gabungan politik negeri itu sekali gus menjadikan kerjasama lebih mantap.
“Kita perlukan kerjasama dengan gabungan atau parti lain kerana UMNO dan BN tidak boleh lagi bergerak solo. Kita perlukan rakan untuk menghadapi PRN di Sabah …dan kita juga sedang menerokai beberapa pertimbangan terutama pembahagian kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan persefahaman dengan parti tempatan.
“Kita nak masuk PRN Sabah sebagai satu pasukan yang mantap bukannya terpaksa menangkis macam-macam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.
Mohamad yakin menerusi gabungan yang mantap akan membolehkan pengundi tidak keliru untuk memberi sokongan sekali gus mentadbir negeri tersebut.
Sebelum ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak kerjasama politik dengan BN pada PRN kali. PBS adalah bekas parti komponen BN sebelum meninggalkan gabungan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) susulan kekalahan BN.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadual terbubar secara automatik pada 11 November ini selepas bermula persidangan pertama dan pembukaan rasmi DUN Sabah.
Komposisi terkini DUN Sabah menyaksikan kerajaan diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO dan PH menguasai 55 daripada 79 kerusi keseluruhan manakala pembangkang terdiri Parti Warisan Sabah, sebahagian UMNO dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 24 kerusi.- MalaysiaGazette
















