Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Jawatankuasa Khas tangani kejadian curi kabel di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang telah ditubuhkan dengan kerjasama Polis Pahang dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, pihaknya juga dalam masa sama sedang menjalankan siasatan berkenaan kejadian itu.

“Kita berdepan kesukaran untuk membuat siasatan lanjut kerana kita tak pasti laporan dibuat selepas berapa lama kejadian curi dan pemasangan (kabel) itu.

“Jadi, kita mencadangkan langkah pencegahan adalah lebih baik, tapi bergantung kepada perbincangan lanjut dengan task force,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Majlis itu menyaksikan penyerahan tugas daripada Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu kepada Superintendan Mohd Adli Mat Daud sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan yang baharu.

Wan Mohd Zahari sebelum ini dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Negeri Perak dengan pangkat Senior Asistant Commisioner (SAC).

Majlis turut mengaksikan Wan Rohani Wan Ishak selaku Pengerusi PERKEP Daerah Kuantan pula menyerahkan tugasnya kepada Zarina Omar @ Yusof disaksikan Pengerusi PERKEP Kontinjen Pahang, Datin Seri Sumarnie Haris.

Dalam majlis sama, Deputi Superintendan Seah Boon Kok sebagai Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang pula menyerahkan tugasnya kepada Superintendan Wan Aedil Wan Abdullah.

Sementara itu, Yahaya berkata, beberapa perbincangan awal sudah dilakukan bersama pihak ECRL dimana pihaknya turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di laluan tersebut bagi mencegah kejadian kecurian berulang.

Tambahnya, perbicangan selanjutnya jawatankuasa khas itu akan diadakan pada Jumaat ini.

Sebagai rekod, bagi tempoh 1 Januari sehingga 22 Jun lalu, pihaknya telah menerima lapan laporan kecurian kabel melibatkan kerugian lebih RM200,000 di beberapa lokasi projek termasuk di daerah Kuantan dan Maran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast