GEORGE TOWN – Sebuah kafe di Jalan Anson, di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang semalam selepas dikesan menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) kepada pelanggan tempatan.
Dalam serbuan yang dijalankan kia=kira jam 11 malam itu, seramai 18 wanita warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan yang dijalankan di premis berkenaan.
Menurut sumber, kesemua wanita yang ditahan terdiri daripada 17 warga Vietnam dan seorang wanita warga Kemboja.
Katanya, seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis terbabit turut ditahan dalam serbuan sama.

“Premis berkenaan didapati berselindung di sebalik perniagaan kafe dan karaoke untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Selain itu, ketika serbuan sebahagian daripada mereka (GRO) cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, namun tindakan pantas pasukan berjaya mengagalkannya.
“Siasatan awal mendapati wanita-wanita terbabit dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial dan ada yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah sumber, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette
















