Gambar hiasan

IPOH – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan seorang diri awal pagi tadi ditemui lemas dengan mayatnya tersangkut pada pukat di perairan Tanjung Piandang, Kuala Kurau, kira-kira 106 kilometer dari sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, kehilangan mangsa, Mohd Hafifi Harun, yang berusia 30-an, disedari oleh komuniti nelayan setempat selepas bot miliknya ditemui terapung tanpa pengendali sekitar pukul 8 pagi.

“Mangsa dipercayai keluar ke laut seorang diri sekitar pukul 3 pagi sebelum usaha mencari segera dilancarkan oleh nelayan setempat, sebelum pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menerima maklumat daripada polis.

“Beberapa jam kemudian, mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati, tersangkut pada pukat tidak jauh dari lokasi botnya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke jeti berhampiran sebelum diserahkan kepada polis untuk proses pengecaman dan dokumentasi lanjut.

“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut. Antara langkah yang boleh diambil termasuk memakai jaket keselamatan, menggunakan sistem pemantauan lokasi serta tidak turun ke laut bersendirian, khususnya pada waktu malam,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast