KUALA LUMPUR – Industri kreatif negara berpotensi memasuki fasa baharu menerusi pelaksanaan dua gagasan berimpak tinggi, Batik Seri MADANI dan Malaysia Film Industry Expo (MFIX) yang menyasarkan pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan serta akses pasaran antarabangsa kepada golongan belia.
Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizam Abu Samah berkata, sektor kreatif mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu kerjaya berpendapatan tinggi selain memperkukuh identiti negara, sekiranya golongan belia diberikan peranan lebih besar dalam rantaian nilai industri.
Menurut beliau, belia tidak seharusnya hanya dilihat sebagai tenaga kerja, sebaliknya perlu diberi ruang menjadi pengusaha, pemilik harta intelek (IP) dan rakan strategik kepada pemain industri.
“Fokus utama kita adalah membina jambatan daripada bakat kepada pekerjaan dan daripada idea kepada pasaran.
“Kerjasama antara kerajaan, penggiat industri dan belia akan memastikan ekosistem ini kekal mampan serta memberi pulangan ekonomi nyata kepada negara,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Selasa.
Khairul Rizam berkata, MFIX dicadangkan sebagai sebuah hab ekosistem nasional dan platform digital yang menghubungkan secara terus pencipta kandungan, juruvideo, animator serta penggiat teknikal belia dengan penerbit, pelabur dan pembeli kandungan antarabangsa.
“Platform berkenaan turut merangkumi portal pekerjaan, latihan industri dan pitching hub bagi membantu bakat muda mendapatkan peluang pekerjaan serta membawa karya mereka ke peringkat komersial dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, jelasnya, Batik Seri MADANI pula memberi tumpuan kepada pemerkasaan warisan batik dengan menggabungkan teknik batik blok tradisional bersama reka bentuk kontemporari, teknologi digital dan nilai teras Malaysia MADANI.
“Pendekatan itu dijangka membuka ruang kepada kemunculan lebih ramai pembatik muda, pereka, usahawan kreatif serta pengusaha baharu yang mampu mengembangkan produk batik tempatan ke pasaran lebih luas,” katanya.
Selain itu, katanya, kedua-dua inisiatif itu akan diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), institusi pendidikan dan sektor swasta.
“Kerjasama itu penting bagi memastikan model pelaksanaan yang dibangunkan mempunyai penanda aras prestasi (KPI) yang jelas dan telus, selain memberi manfaat secara langsung kepada pemain industri serta masyarakat,” katanya.
Khairul Rizam merangkap Presiden Pertubuhan Belia Kreatif Malaysia (BeKreatif) berkata, komitmen berterusan kerajaan amat penting bagi mempercepatkan proses menterjemahkan kreativiti golongan muda kepada perniagaan yang mampan.
“MBWP percaya komitmen berterusan daripada kerajaan akan mempercepatkan penterjemahan kreativiti anak muda menjadi perniagaan mampan yang menyumbang kepada masa depan ekonomi Malaysia,” katanya.
Menurutnya, pembangunan ekosistem kreatif yang tersusun bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan usahawan muda, malah berpotensi menjadikan karya serta produk kreatif Malaysia sebagai komoditi bernilai di pasaran global.
“MBWP berharap kedua-dua gagasan berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem ekonomi kreatif yang lebih inklusif, berdaya saing dan mampu menawarkan peluang pekerjaan berkualiti kepada generasi muda negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















