MELAKA – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah mencuri dan melupuskan harta curi termasuk selimut dan barangan berharga lain di sebuah rumah inap, di sini, April lalu.
Tertuduh, Jasila Jamaruddin, 31, dan Muhammad Aliff Aiman Zaini, 24, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Melaka di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan di hadapan Hakim Haderiah Siri, Jasila yang mengandung lima bulan didakwa melakukan rompak dengan cara merampas rantai tangan bernilai RM12,000 milik seorang wanita berusia 42 tahun di hadapan sebuah kafe di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, kira-kira pukul 11 pagi 28 Mei 2025.
Sabit kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan sedang hamil anak kelima selain mempunyai empat anak yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Haderiah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 10 Jun 2025.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, tertuduh, Muhammad Aliff mengaku bersalah atas pertuduhan menerima dan melupuskan harta curi berupa seutas rantai tangan emas di sebuah kedai pajak gadai di dalam daerah Hulu Langat, Selangor kira-kira pukul 4 petang, 28 Mei 2025.
Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan.
Pasangan itu turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani atas pertuduhan secara bersama-sama telah mencuri pelbagai barang sebuah rumah inap desa termasuk selimut, seterika, cerek, dan bantal keseruruhannya bernilai RM1,100.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit kediaman di Atlantis Residence Tower, Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 1 pagi 26 April 2025.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 380 kanun sama itu, kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara lima bulan dari tarikh ditangkap iaitu 4 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















